" Saya Akan Lepaskan Emma "- Zizan

KUALA LUMPUR: Pemilik bersama WireFame Entertainment (WFE), Zizan Razak mengakui kurang jelas dengan situasi sebenar apabila pelakon yang juga kekasihnya, Emma Maembong dilaporkan mendapat notis saman gara-gara melanggar kontrak bersama syarikat pengurusan itu.

Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak, 30, berkata, isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana kontrak Emma bersama WFE berakhir pada bulan ini.

"Sepatutnya isu saman ini tidak perlu timbul kerana kontrak Emma pun akan tamat bulan ini dan saya pelik bagaimana cerita berkenaan boleh timbul.
"Bagaimanapun saya tidak mengetahui cerita sebenar tentang isu berkenaan kerana tidak dimaklumkan apa-apa mengenai perkara itu," katanya kepada mStar Online.

Zizan ditemui pada majlis makan malam bersama artis naungan Astro dan media di Hotel Le Meridien dekat sini pada malam Isnin.

Dalam pada itu, Zizan berkata, sebagai salah seorang pemegang saham terbesar syarikat itu, dia tidak mempunyai masalah untuk melepaskan Emma daripada terus berada dibawah naungan WFE sebaik sahaja kontrak pelakon itu tamat kelak.

Malah katanya, dia berharap konflik melibatkan Emma dan WFE tidak berpanjangan dan dapat diselesaikan dengan cara baik tanpa melibatkan sebarang tindakan mahkamah.

"Saya tiada masalah melepaskan Emma daripada WFE dan jika dengan cara itu dapat menyelesaikan semua masalah yang timbul, ia jalan terbaik," jelasnya.

Sementara itu, bercakap mengenai kedudukannya dalam syarikat berkenaan, Zizan berkata, dia masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan pihak WFE untuk berbincang kerana sibuk dengan aktiviti seni.Bagaimanapun kata Zizan, dia akan cuba mencari ruang untuk berbincang secara empat mata bagi mengelakkan sebarang salah faham di kemudian hari.

"Masih ada beberapa perkara melibatkan saya yang belum selesai dengan WFE dan kami masih belum berkesempatan untuk duduk berbincang kerana terlalu sibuk dengan kerjaya," katanya. [ -mStar ]
Get updates in your Inbox
Subscribe