TURKI: Pemain antarabangsa Jerman dan pemain lagenda kelab Inggeris Arsenal FC, Mesut Ozil mengumumkan akan mendermakan wang imbuhan hasil muncul juara Piala Dunia kepada anak-anak yang menderita di Gaza.
Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah angka korban akibat serangan kejam rejim di Gaza meningkat kepada lebih 200 nyawa, menurut beberapa laman web termasuk WorldBulletin.net.
Pemain berketurunan Turki itu menerima habuan berjumlah RM646,000 untuk kemenangan pasukan Jerman di separuh akhir dan hampir RM1.2 juta wang bonus selepas muncul juara Piala Dunia 2014 dari Kesatuan Bola Sepak Jerman.
Itu tidak termasuk imbuhan sampingan lain yang diperolehi untuk setiap perlawanan yang dimenangi sepanjang temasya itu.
Portal itu juga melaporkan media-sosial turut hangat memperkatakan tentang Ozil yang dikatakan dilihat membaca ayat Al-Quran di padang sejurus sebelum perlawanan akhir menentang Argentina dan mengucapkan kesyukuran apabila Jerman berjaya muncul juara.
Ozil sememangnya tidak pernah lekang dari kontroversi sebelum ini apabila pernah enggan berjabat tangan dengan seorang pegawai FIFA ekoran pendirian pegawai itu yang menyokong Israel.