Namun, peluang yang diberikan disia-siakan gadis berusia 26 tahun itu apabila dia terjebak dengan najis dadah dan gejala sosial ketika menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Selangor.
Mengimbau kembali peristiwa itu, Nelly mengakui dia mengalami kejutan budaya selepas bergaul dengan rakan-rakan yang kebanyakannya datang dari bandar.
Berbeza dengan mereka, gadis yang berasal dari Pantai Timur itu tidak pernah mengenali kebebasan hidup di kota.
“Saya jarang dapat keluar dengan kawan-kawan apatah lagi melepak sehingga larut malam. Boleh dikatakan saya anak yang baik dan selalu menurut kata ibu bapa walaupun kadang-kadang saya rasa terkongkong dengan sikap mereka,” katanya memulakan bicara.
Cerita Nelly, peluang belajar jauh daripada pemantauan dan jagaan ibu bapa ‘dimanfaatkan’ dengan berhibur di pusat karaoke dan kelab-kelab malam.
Gambar hiasan.
“Pada mulanya saya menolak tetapi akibat terpengaruh dengan hasutan rakan, saya telan juga pil itu.
“Rasa tidak seronok kalau layan muzik tanpa pil tersebut, jadi, sejak itu, saya mengambilnya setiap kali kami ke disko. Saya juga belajar merokok dan minum arak untuk nampak lebih cool,” tambahnya.
Menurut Nelly, dia semakin ligat berpesta dan lebih gemar menghabiskan masa dengan berseronok bersama rakan-rakannya.
“Hampir setiap malam saya akan curi-curi keluar dari asrama untuk berhibur di kelab-kelab malam. Saya akan ‘lompat’ dari satu kelab ke kelab lain sehingga masuk waktu Subuh.
“Saya juga gemar pergi ke parti liar dan konsert rave semata-mata untuk ‘melayan kepala’ dengan muzik trance yang disajikan,” katanya.
Pelajaran Nelly mula terganggu dan tumpuannya juga semakin terjejas kerana dia sering tertidur dan khayal di dalam kelas.
“Saya selalu ponteng kelas dan mengabaikan pelajaran. Malah, duit yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan pengajian habis dibelanjakan untuk berhibur dan membeli pil ekstasi serta minuman keras.
“Sekiranya kehabisan duit, saya akan minta daripada ibu dan ayah di kampung dengan alasan untuk membeli buku atau membayar yuran,” katanya.
Detik hitam dalam hidup Nelly bermula selepas dia mengenali seorang lelaki warga Iran yang dikenali sebagai Mehrdad di sebuah kelab malam.
Kata Nelly, Mehrdad bukan sahaja memberikan bekalan ekstasi secara percuma malah turut mengajarnya mengambil dadah jenis ganja dan syabu.
“Kami akan berkumpul di rumah sewa Mehrdad dan berkongsi menghisap syabu menggunakan ‘dapur’ yang dibuat sendiri.
“Apabila semua ‘kena’, saya pun terpaksalah cuba. Kalau tidak cuba, nanti dikatakan tak cool pula,” ujarnya.
Menurut Nelly, ketagihan terhadap dadah yang juga dikenali sebagai ais itu semakin teruk sehingga dia sanggup membelanjakan lebih RM3,000 sebulan untuk membeli dadah berkenaan.
Lebih malang, gadis berkulit cerah itu mengakui dia juga sanggup menjual tubuh untuk melepaskan giannya.
Insaf
“Saya tak kisah tidur dengan sesiapa asalkan dia boleh beri duit. Kalau nak tukar dadah dengan khidmat seks pun saya terima,” katanya kesal.
Bagaimanapun, hidup Nelly berubah selepas dia menyaksikan Mehrdad dan kawan-kawannya diberkas pihak polis dalam satu serbuan.
“Ketika itu, saya mahu pergi ke rumahnya. Saya nampak dia ditangkap pihak polis ketika keluar dari lif. Saya panik dan cepat-cepat melarikan diri kerana takut ditahan sama.
“Saya terfikir bahawa saya mungkin akan menerima nasib yang sama sekiranya terus melakukan perkara terkutuk itu,” katanya.
Nelly memberitahu, sejak peristiwa itu, dia insaf dan tekad untuk berhenti mengambil dadah serta memulakan hidup baharu.
“Saya akui tempoh ‘membersihkan’ diri daripada dadah memang sukar tetapi saya berjaya keluar daripada belenggu najis dadah dengan pertolongan dan sokongan daripada keluarga.
“Apa yang penting adalah kemahuan yang perlu datang daripada diri sendiri,” ujarnya yang kini kembali menyambung pengajian di salah sebuah kolej swasta di ibu negara.